Tuan Rumah memulakan perjanjian. Selepas masuk, pilih sama ada Isi Berasingan melalui Link Penyewa atau Isi Semua Sekali pada halaman yang sama.
Maklumat Tuan Rumah dan sewaan telah dimuatkan daripada link. Lengkapkan bahagian Penyewa, dokumen pengenalan dan tandatangan. Selepas selesai, maklumat akan dihantar kembali ke No. Rujukan yang sama.
Maklumat telah disimpan. Tuan Rumah akan menerima pemberitahuan melalui e-mel.
Lengkapkan maklumat Tuan Rumah, rumah/bilik, kadar sewa, deposit, tempoh dan inventori. Maklumat Penyewa dikunci pada peringkat ini. Apabila bersedia, jana link khas Penyewa.
Tarikh tandatangan lama telah dikosongkan. Anda boleh gunakan semula tandatangan ini untuk pembaharuan atau padam dan tandatangan semula. Tandatangan individu juga boleh dipadam melalui butang pada ruangan tandatangan masing-masing.
Selepas Tuan Rumah menyemak maklumat kedua-dua pihak, sistem akan menjana PDF Perjanjian dan Fail Pembaharuan, kemudian menghantar kedua-duanya sekali ke e-mel Tuan Rumah.
| No | Inventori | Bilangan | Catatan |
|---|
Sila rujuk Lampiran A sebagai tambahan senarai inventori yang juga menjadi sebahagian daripada Perjanjian ini.
Tandatangan ini wajib sebelum Link Penyewa dijana dan akan digunakan semula pada ruangan Tuan Rumah dalam perjanjian penuh.
PERSETUJUAN PERJANJIAN Perjanjian (yang dirujuk sebagai “Perjanjian” atau “Kontrak”) ini akan bermula dan tamat pada tarikh yang telah ditetapkan pada Bahagian 3 (Maklumat Sewaan) dan dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak iaitu di antara pihak pemilik rumah atau wakil yang telah dipertanggungjawabkan (yang dirujuk sebagai “Tuan Rumah”) dan pihak yang menyewa bilik (yang dirujuk sebagai “Penyewa Bilik”).
Manakala
a) Tuan Rumah adalah pemilik yang sah pada keseluruhan rumah beralamat seperti yang ditulis pada Bahagian 3 - Maklumat Sewaan (Alamat Rumah Sewa) pada Perjanjian ini (yang dirujuk sebagai “Rumah Sewa”) termasuk pada bilik yang disewakan kepada Penyewa Bilik (yang dirujuk sebagai “Bilik Sewa”);
b) Tuan Rumah telah bersetuju untuk menyewakan Bilik Sewa kepada Penyewa Bilik dan Penyewa Bilik bersetuju untuk mengambil keseluruhan Bilik Sewa tersebut dengan tanggungjawab yang telah disenaraikan di dalam Perjanjian ini.
c) Penyewa Bilik bersetuju untuk menerima sewaan Bilik Sewa tersebut dan mematuhi segala terma dan syarat yang telah ditetapkan dalam Perjanjian ini. Penyewa juga bersetuju untuk mewakili dan mengambil tanggungjawab ke atas Penyewa Bilik Bersama pada Bahagian 2 supaya sentiasa mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan dalam Perjanjian ini. Sebarang pelanggaran perlu ditanggung oleh pihak Penyewa Bilik.
Dengan ini, pihak Penyewa Bilik bersetuju dengan Tuan Rumah untuk mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan seperti berikut:
6.1 Membayar duit Deposit seperti mana yang telah dipersetujui bersama pihak Tuan Rumah pada Bahagian 3. Deposit Sekuriti akan digunakan sebagai perlindungan terhadap Tuan Rumah daripada sebarang pelanggaran tanggungjawab atau peraturan yang telah ditetapkan di dalam Perjanjian ini oleh Penyewa Bilik. Deposit Utiliti akan digunakan sekiranya Penyewa Bilik gagal dalam melaksanakan tanggungjawab seperti yang disebut di dalam Perkara 6.6.
6.2 Jumlah Deposit yang dinyatakan pada Bahagian 3 harus dikekalkan sehingga Tarikh Tamat Sewaan dan tidak boleh digunakan sebagai pembayaran sewa rumah, bayaran pendahuluan sewa, bayaran sewa tertunggak, bayaran kerosakan atau apa-apa bayaran lain melainkan dengan persetujuan bertulis dengan Tuan Rumah. Tuan Rumah akan memulangkan wang Deposit tersebut setelah tamatnya tempoh sewaan seperti yang telah dinyatakan pada Perkara 7.7.
6.3 Penyewa Bilik adalah dinasihatkan untuk mengikuti segala peraturan yang telah ditetapkan di dalam Perjanjian ini. Sebarang pelanggaran pada Perjanjian seperti dan tidak terhad kepada:
a. Menamatkan Kontrak lebih awal daripada tarikh yang telah dipersetujui pada Bahagian 3;
b. Tidak membayar bil utiliti dan/atau sebarang caj yang dikenakan berkaitan dengan utiliti yang telah dipertanggungjawabkan kepada Penyewa Bilik;
c. Terdapat kerosakan, kehilangan atau kecacatan pada harta benda Bilik Sewa akan memberi hak kepada Tuan Rumah untuk menolak sebahagian atau ke semua Deposit tersebut, bergantung pada kesesuaian dan budi bicara Tuan Rumah.
6.4 Sekiranya mana-mana bahagian atau keseluruhan Deposit telah digunakan bagi mematuhi terma-terma dan syarat-syarat Perjanjian ini, maka Penyewa Bilik, hendaklah membayar balik dan/atau menggantikan Deposit yang telah digunakan bagi memastikan jumlah Deposit yang dipegang adalah kekal sama seperti jumlah yang telah dipersetujui dalam Bahagian 3 sepanjang tempoh sewaan.
6.5 Penyewa Bilik bersetuju bahawa Tuan Rumah berhak menggunakan Deposit sebagai sebarang ganti rugi akibat pelanggaran mana-mana bahagian Perjanjian ini dan tidak menyekat Tuan Rumah untuk menuntut sebarang kerugian atau apa-apa perbelanjaan lain yang diakibatkan oleh pelanggaran dalam Perjanjian ini.
6.6 Bertanggungjawab membayar bil utiliti seperti termasuk bil air, elektrik, pembetungan, telefon, Internet dan lain-lain yang dikenakan pada rumah tersebut sepanjang tempoh sewaan kecuali beberapa jenis pembayaran lain yang harus ditanggung oleh Tuan Rumah seperti yang tertulis pada Perkara 7.1. Sekiranya Bilik Sewa telah dipasang sub-meter, maka Penyewa Bilik bertanggungjawab sepenuhnya untuk membayar mengikut kadar yang ditetapkan pada sub-meter tersebut. Sekiranya tiada sub-meter, maka Penyewa perlu bersama penyewa lain membayar mengikut bil utiliti yang telah dikeluarkan untuk Rumah Sewa tersebut mengikut pembahagian yang telah dipersetujui bersama. Tuan Rumah berhak menggunakan atau melaksanakan pemotongan terhadap utiliti yang berkenaan sehingga Penyewa Bilik (sekiranya memiliki sub-meter sendiri) atau ke semua penyewa Rumah Sewa (sekiranya tidak memiliki sub-meter sendiri) melangsaikan ke semua tunggakan tersebut.
6.7 Sebarang denda, caj tambahan atau saman yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, kerajaan atau syarikat utiliti berkaitan dengan bil utiliti harus ditanggung oleh Penyewa Bilik sekiranya denda, caj tambahan atau saman tersebut adalah disebabkan tindakan dan/atau kecuaian Penyewa Bilik sendiri. Tuan Rumah berhak menggunakan Deposit Utiliti pada jumlah yang dinyatakan pada Bahagian 3 (Deposit Utiliti)
6.8 Penyewa Bilik hendaklah dari masa ke semasa menunjukkan bil utiliti atau apa-apa bukti pembayaran bil utiliti sekiranya diminta oleh Tuan Rumah atau wakil yang diberi kuasa oleh Tuan Rumah.
6.9 Penyewa Bilik bertanggungjawab secara peribadi untuk membayar bayaran sewa kepada akaun bank Tuan Rumah seperti yang dinyatakan dalam Bahagian 3 (Maklumat Bank Tuan Rumah) dan bayaran pada Perkara 6.1 di atas pada tarikh yang telah dipersetujui oleh pihak Tuan Rumah seperti dinyatakan pada Bahagian 3 (Maklumat Sewaan). Penyewa Bilik bertanggungjawab menyimpan segala resit/slip dan berikan kepada Tuan Rumah (sekiranya perlu) sebagai bukti pembayaran sewa.
6.10 Bayaran sewa bulanan bagi bulan yang pertama hendaklah dibayar semasa Perjanjian ini ditandatangani atau semasa tempahan dibuat kepada Tuan Rumah dengan jumlah yang dinyatakan pada Bahagian 3 (Pembayaran Bulan Pertama).
6.11 Bayaran sewa bulanan bagi bulan yang kedua dan seterusnya hendaklah dibayar kepada Tuan Rumah pada jadual yang telah ditetapkan pada Bahagian 3 (Jadual Pembayaran).
6.12 Sekiranya berlaku sebarang kelewatan oleh Penyewa Bilik untuk membayar sewanya melepasi tarikh yang telah dipersetujui pada Bahagian 3 (Denda Lewat Bayar), maka Tuan Rumah berhak mengenakan Denda Lewat Bayar kepada Penyewa Bilik seperti yang dinyatakan pada Perkara 8.7 – Tunggakan Sewa.
6.13 Mengekalkan bilangan dan kualiti inventori yang telah disediakan dalam Bahagian 4 atau lampiran bersama surat Perjanjian ini dalam keadaan yang baik. Penyewa Bilik perlu mengganti setiap barangan yang rosak, cacat atau hilang kepada keadaan yang asal. Sekiranya Penyewa Bilik gagal memperbetulkan keadaan, Tuan Rumah berhak untuk mengenakan caj terhadap sebarang kerosakan dan kehilangan pada mana-mana perkara yang disenaraikan di dalam senarai inventori tersebut. Klausa 6.13 ini akan terbatal dengan sendirinya sekiranya kerosakan, kecacatan atau kehilangan harta benda di luar No/Jenis Bilik Sewa penyewa adalah disebabkan penyewa lain Rumah Sewa tersebut.
6.14 Sebarang penambahan, pengubahan atau pengurangan pada inventori yang disediakan adalah DILARANG melainkan mendapat kebenaran daripada Tuan Rumah.
6.15 Penyewa Bilik dinasihatkan untuk mengambil insurans bagi melindungi harta benda milik Penyewa Bilik yang ditanggung sepenuhnya oleh pihak Penyewa Bilik. Tuan Rumah tidak bertanggungjawab atas sebarang kos berkaitan dengan insurans tersebut dan tidak bertanggungjawab atas segala kerosakan atau kehilangan harta benda milik Penyewa Bilik.
6.16 Penyewa Bilik bertanggungjawab sepenuhnya atas segala tuntutan yang dibuat kepada Tuan Rumah sekiranya berlaku sebarang kemalangan atau kecederaan ke atas Penyewa Bilik, penghuni bersama, pelawat atau mana-mana pihak yang berada di dalam Bilik Sewa tersebut.
6.17 Penyewa Bilik bertanggungjawab atas sebarang kos atau caj tambahan yang dikenakan ke atas premium insurans Tuan Rumah sekiranya Penyewa Bilik didapati melakukan, membenarkan atau membiarkan sebarang aktiviti-aktiviti yang boleh mengakibatkan kenaikan atau pembatalan kadar premium insuran Tuan Rumah.
6.18 Bilik Sewa, keseluruhan Rumah Sewa dan kawasan sekitarnya tidak boleh digunakan oleh pihak Penyewa Bilik dan/atau mana-mana pihak untuk melakukan perbuatan tersenarai di bawah sepanjang tempoh sewaan.
a. Menjalankan aktiviti perniagaan (kecuali perniagaan atas talian)
b. Menjalankan sebarang bentuk kegiatan haram
c. Melakukan apa-apa perbuatan menyalahi undang-undang atau tidak bermoral
d. Menjalankan perniagaan haram atau perjudian
e. Membeli, menjual, mengambil atau apa-apa aktiviti yang melibatkan dadah
f. Memberi perlindungan kepada pesalah undang-undang di dalam rumah tersebut
6.19 Dilarang melakukan perkara yang melanggar undang-undang, undang-undang kecil atau peraturan kerajaan atau mana-mana pihak berkuasa yang lain yang melibatkan Bilik Sewa atau Rumah Sewa tersebut adalah dilarang sama sekali. Tindakan undang-undang sewajarnya berhak diambil oleh Tuan Rumah sekira ianya berlaku.
6.20 Dilarang melakukan sebarang perkara yang boleh menyebabkan insurans Rumah Sewa dibatalkan dan/atau menyebabkan pembayaran Premium insurans meningkat. Penyewa Bilik bertanggungjawab membayar segala kos yang terlibat akibat pembatalan atau peningkatan pembayaran insurans sekiranya berlaku sebarang pelanggaran disebabkan oleh kelalaian/kecuaian/tindakan Penyewa Bilik sendiri.
6.21 Memaklumkan serta harus mendapatkan kebenaran bertulis tidak kurang dari empat belas (14) hari daripada pihak Tuan Rumah sekiranya terdapat penambahan bilangan Penyewa Bilik (termasuk menyewakan sebahagian atau seluruh Bilik Sewa kepada orang lain). Penyewa Bilik bertanggungjawab sepenuhnya ke atas penambahan Penyewa Bilik tersebut dan mereka harus mematuhi segala tanggungjawab yang telah ditetapkan oleh Tuan Rumah melalui Perjanjian ini. Sekiranya Penyewa Bilik melanggar Perkara 6.21 ini maka pihak Tuan Rumah berhak mengutip kesemua bayaran sewa yang harus dibayar oleh Penyewa Bilik tambahan tersebut dan/atau pihak Tuan Rumah berhak melakukan potongan Deposit Sekuriti sekiranya perlu.
6.22 Tidak melakukan sebarang perubahan berbentuk pertambahan atau pengurangan terhadap reka bentuk serta struktur asal Bilik Sewa atau Rumah Sewa tanpa persetujuan bertulis daripada pihak Tuan Rumah. Perkara ini merangkumi bahagian luar dan dalam bahagian Bilik Sewa atau Rumah Sewa.
6.23 Tidak dibenarkan melakukan sebarang kerja pengubahsuaian reka bentuk dalaman seperti menebuk dinding, siling atau lantai untuk tujuan dekorasi melainkan mendapat persetujuan bertulis daripada pihak Tuan Rumah. Sekiranya dibenarkan, pergantungan bingkai gambar hendaklah menggunakan wallplug yang ditebuk ke dalam dinding.
6.24 Sebarang kos penambahbaikan atau pengubahsuaian pada struktur bilik atau rumah yang dilakukan atas permintaan Penyewa Bilik secara bertulis harus ditanggung oleh Penyewa Bilik. Segala kerosakan secara langsung atau tidak langsung yang disebabkan oleh penambahbaikan/pengubahsuaian ini harus diperbaiki oleh Penyewa Bilik dengan kadar serta-merta.
6.25 Sekiranya diminta oleh Tuan Rumah, segala kos untuk kembalikan Bilik Sewa atau Rumah Sewa tersebut kepada keadaan yang asal termasuk membuang dan menghilangkan segala penambahbaikan dan pengubahsuaian perlu ditanggung oleh Penyewa Bilik. Tuan Rumah berhak menggunakan wang Deposit untuk menanggung kos untuk melaksanakan Perkara 6.25 ini.
6.26 Tidak akan membela, menternak dan/atau membiak apa-apa jenis haiwan dalam kawasan Bilik Sewa atau Rumah Sewa kecuali dengan kebenaran pihak Tuan Rumah. Sekiranya kebenaran diberikan, Penyewa Bilik bertanggungjawab sepenuhnya memastikan keselesaan penyewa lain Rumah Sewa tersebut dan juga penduduk sekitar kawasan perumahan. Penyewa Bilik juga bertanggungjawab untuk mengekalkan kebersihan Bilik Sewa dan Rumah Sewa sepanjang masa. Sebarang kos pembaikan kerosakan yang disebabkan haiwan peliharaan akan ditanggung oleh Penyewa Bilik sepenuhnya.
6.27 Tidak membawa dan/atau menyimpan di dalam rumah apa jua jenis senjata, bahan letupan, mercun, bahan beracun dan/atau bahan berbahaya yang mudah meletup dan/atau yang mudah terbakar kecuali setelah memenuhi peraturan undang-undang untuk berbuat demikian serta mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa yang terlibat dan seterusnya mendapat kebenaran bertulis pihak Tuan Rumah.
6.28 Mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan oleh Pihak Pengurusan Apartmen/Flat/Taman atau lain-lain jenis perumahan (sekiranya ada).
6.29 Bertanggungjawab menjaga kebersihan keseluruhan persekitaran luar dan dalam bangunan Bilik Sewa dan Rumah Sewa termasuk ruangan dapur, bilik air, ruang tamu, mana-mana bahagian dalam Rumah Sewa tersebut. Penyewa Bilik juga bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan di bahagian luar Rumah Sewa termasuk ruangan kaki lima, ruangan tangga serta jalan di sekeliling rumah tersebut sebagaimana ditentukan oleh Tuan Rumah, pegawai-pegawai yang terlibat dan/atau wakil Tuan Rumah yang diberi kuasa olehnya.
6.30 Memelihara keadaan Bilik Sewa sepanjang tempoh Perjanjian untuk sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan selesa untuk didiami. Sebarang kerosakan yang berlaku disebabkan oleh kebakaran yang tidak disengajakan, ribut taufan atau lain-lain bencana alam adalah dikecualikan.
6.31 Memulangkan Bilik Sewa dalam keadaan yang bersih dan bebas daripada kotoran dan sampah seperti mana sebelum sewaan bermula. Penyewa Bilik bertanggungjawab melupuskan sampah pada tempat yang sepatutnya dan sebarang kos yang terlibat untuk mengemas atau membuang sampah tersebut akan ditanggung oleh Penyewa Bilik.
6.32 Memaklumkan kepada Tuan Rumah tentang kerosakan di dalam atau luar Bilik Sewa (terhad di dalam kawasan Rumah Sewa sahaja) yang bukan di bawah senarai inventori atau tanggungjawab Penyewa Bilik yang telah ditetapkan oleh Tuan Rumah tidak kurang dari satu (1) hari selepas kerosakan tersebut berlaku. Tuan Rumah berhak mengenakan kos tambahan atau penalti kepada Penyewa Bilik sekiranya Penyewa Bilik gagal dalam memberi notis pada waktu yang ditetapkan.
6.33 Penyewa Bilik tidak dibenarkan memasang peralatan keselamatan tambahan seperti mangga pagar, jeriji besi dan menukar tombol pintu atau tingkap yang baru tanpa kebenaran bertulis daripada pihak Tuan Rumah setelah ianya disediakan oleh pihak Tuan Rumah dan masih berada dalam keadaan yang baik. Tuan Rumah juga perlu menerima semua jenis salinan kunci tambahan dalam tempoh tidak melebihi tujuh (7) hari setelah ianya dipasang. Pembiayaan untuk pertambahan peralatan tersebut juga hendaklah ditanggung sepenuhnya oleh pihak Penyewa Bilik sekiranya dibenarkan oleh pihak Tuan Rumah untuk berbuat demikian.
6.34 Memaklumkan dan mendapat kebenaran bertulis daripada Tuan Rumah sekiranya ingin menambah sistem pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) untuk tujuan keselamatan sekiranya ia tidak disediakan oleh pihak Tuan Rumah. Kos pembiayaan hendaklah ditanggung sepenuhnya oleh Penyewa Bilik atau ke semua penyewa Rumah Sewa tersebut melainkan atas budi bicara Tuan Rumah.
6.35 Tidak melakukan apa-apa perbuatan salah laku atau kesalahan di sisi undang-undang dalam kawasan Rumah Sewa, yang mana ianya boleh menganggu-gugat suasana atau ketenteraman dalam Rumah Sewa dan/atau kalangan jiran / penduduk di sekitar kawasan Rumah Sewa tersebut. Perkara 6.35 ini juga merangkumi perbuatan seperti tetapi tidak terhad kepada membuat bising, memasang muzik yang kuat, dan segala aktiviti-aktiviti yang menyebabkan ketenteraman penyewa bilik yang lain dan jiran tetangga terganggu.
6.36 Penyewa Bilik hendaklah menyelesaikan sebarang pertelingkahan atau pergaduhan dengan penyewa bilik lain jiran secara aman dan profesional. Segala kerosakan disebabkan pertelingkahan ini perlu ditanggung sepenuhnya oleh pihak Penyewa Bilik. Pihak Tuan Rumah tidak akan bertanggungjawab ke atas perkara tersebut.
6.37 Penyewa Bilik bertanggungjawab sepenuhnya atas sebarang kerosakan yang disebabkan Penyewa Bilik terhadap harta benda penyewa lain, jiran tetangga, premis di sekitar Rumah Sewa atau harta benda orang lain. Tuan Rumah berhak mengambil tindakan terhadap Penyewa Bilik yang melanggar Perkara 6.37 ini.
6.38 Penyewa Bilik harus menghormati privasi penyewa bilik yang lain dan Penyewa Bilik tidak dibenarkan untuk memasuki bilik selain No/Jenis Bilik Sewa yang telah ditetapkan dalam Bahagian 3 Perjanjian ini.
6.39 Membenarkan pihak Tuan Rumah atau wakilnya yang telah diberi kuasa untuk memasuki Bilik Sewa bagi melakukan pemeriksaan berkala atau melaksanakan kerja baik pulih/ubah suai terhadap Bilik Sewa atau Rumah Sewa tersebut sekiranya ia dirasakan perlu dan munasabah oleh Tuan Rumah. Tuan Rumah akan memberi notis tidak kurang dari tujuh (7) hari sebelum melaksanakan pemeriksaan atau setelah mendapat kebenaran daripada Penyewa Bilik atau penyewa Rumah Sewa yang lain.
6.40 Bertanggungjawab membaiki sebarang kerosakan peralatan atau kemudahan dalam dan luar Bilik Sewa (terhad di dalam kawasan Rumah Sewa sahaja) yang disebabkan “penggunaan” oleh mana-mana pihak Penyewa Bilik secara sengaja atau tidak sengaja kecuali disebabkan oleh bencana alam. Sekiranya pihak Penyewa Bilik gagal berbuat demikian, Penyewa Bilik perlu membayar ganti rugi kepada Tuan Rumah bagi menampung perbelanjaan yang digunakan untuk membaiki kerosakan tersebut. Wang Deposit juga boleh digunakan oleh pihak Tuan Rumah untuk membaiki kerosakan tersebut dan Tuan Rumah berhak menamatkan tempoh sewaan sekiranya Penyewa Bilik enggan bekerjasama.
6.41 Penyewa Bilik perlu memberi notis bertulis tidak kurang dari satu (1) bulan kepada Tuan Rumah sekiranya Penyewa Bilik ingin keluar daripada Bilik Sewa lebih awal daripada tarikh tamat tempoh Perjanjian atas persetujuan Tuan Rumah. Sekiranya Penyewa Bilik gagal untuk melaksanakan yang sedemikian, wang Deposit tidak akan dikembalikan kepada Penyewa Bilik. Tuan Rumah berhak mengenakan caj tambahan sekiranya terdapat sebarang kerugian yang terpaksa ditanggung oleh pihak Tuan Rumah disebabkan oleh Perkara 6.41 ini.
6.42 Sepanjang tempoh satu (1) bulan notis keluar Rumah Sewa diberikan oleh Penyewa Bilik, melainkan Penyewa Bilik bersetuju untuk menyambung tempoh sewaan, individu yang telah diberi kebenaran bertulis oleh Tuan Rumah dibenarkan untuk melawat dan memasuki Bilik Sewa dengan notis tidak kurang dari tiga (3) hari kepada Penyewa Bilik.
6.43 Apabila tamatnya tempoh sewaan, penamatan awal atau Kontrak ini terbatal atas apa-apa sebab, Penyewa Bilik hendaklah melakukan seperti berikut:
a. Mengosongkan dan menyerahkan semula Bilik Sewa tersebut berserta kunci seperti yang dinyatakan di Perkara 8.3 kepada Tuan Rumah;
b. Melangsaikan semua bayaran sewa, bil dan pembiayaan berkaitan Bilik Sewa tersebut yang tertunggak kepada Tuan Rumah;
c. Membuang dan membersihkan kawasan Bilik Sewa daripada segala kotoran dan peninggalan sisa-sisa makanan dengan menjadikan sebersih yang mungkin seperti sebelum sewaan bermula;
d. Membuang sebarang penambahan barang seperti tetapi tidak terhad kepada perhiasan, lukisan, kabinet, atau apa-apa perabot di dalam atau sekitar Bilik Sewa tanpa mencacatkan mana-mana bahagian Bilik Sewa tersebut;
e. Memulangkan semula setiap harta benda milik Tuan Rumah dalam keadaan baik seperti yang dinyatakan dalam Bahagian 4 (Senarai Inventori);
f. Memperbaiki atau mengganti mana-mana bahagian yang mengalami kerosakan yang disebabkan oleh tindakan pemasangan atau pembuangan barangan Penyewa Bilik daripada Bilik Sewa tersebut;
g. Memulangkan semula Bilik Sewa kepada Tuan Rumah dalam keadaan yang sama seperti mana mereka masuk Bilik Sewa tersebut.
6.44 Penyewa Bilik tidak dibenarkan untuk mengamalkan sebarang upacara yang melibatkan aktiviti-aktiviti ilmu hitam seperti pemujaan pada perkara ghaib, servis bomoh, tilik nasib, jampi, penyembelihan, ilmu sihir upacara-upacara keagamaan yang salah dari sisi undang-undang negara dan lain-lain aktiviti yang berkaitan.
Dengan ini, pihak Tuan Rumah bersetuju dengan Penyewa Bilik untuk mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan seperti berikut:
7.1 Akan membayar Cukai Pintu, Cukai Tanah, Bil Penyelenggaraan yang dikenakan ke atas rumah yang beralamat seperti di Bahagian 3 sepanjang tempoh Perjanjian ini.
7.2 Memberi hak sepenuhnya ke atas penjagaan Bilik Sewa dan Rumah Sewa kepada Penyewa Bilik dan memberi ruang kepada Penyewa Bilik untuk duduk di dalam Bilik Sewa dan Rumah Sewa tersebut secara aman dan tenteram, tanpa diganggu oleh Tuan Rumah atau mana-mana pihak yang mempunyai kaitan dengan Tuan Rumah. Sekiranya Penyewa Bilik melanggar mana-mana peraturan di dalam Perjanjian ini, maka Perkara 7.2 ini terbatal dengan sendirinya.
7.3 Sekiranya Penyewa Bilik telah membayar sewa, menyelesaikan semua jenis bil serta menjaga keadaan keseluruhan Bilik Sewa dan Rumah Sewa dengan baik, Penyewa Bilik berhak mendapat kebebasan untuk menggunakan rumah tersebut tanpa diganggu oleh pihak Tuan Rumah sepanjang tempoh sewaan.
7.4 Memastikan Rumah Sewa dilindungi dengan Insurans daripada kerosakan atau kemusnahan yang berlaku akibat dan tidak terhad kepada Kebakaran atau bencana-bencana alam yang lain.
7.5 Membaiki sebarang kerosakan yang melibatkan struktur dan sistem utiliti Rumah Sewa dan Bilik Sewa seperti dan tidak terhad kepada bahagian atap, dinding utama, lantai (termasuk jubin), siling, perpaipan dan pendawaian yang bukan disebabkan oleh kelalaian/kecuaian/penggunaan Penyewa Bilik. Pihak Tuan Rumah juga bertanggungjawab untuk memperbaiki apa-apa kerosakan yang disebabkan oleh “wear and tear”, bencana alam, dimakan oleh serangga, faktor usia atau sesuatu yang tidak dapat dijangka. Segala kerosakan akan dibaiki oleh Tuan Rumah dalam tempoh tidak melebihi empat belas (14) hari selepas notis kerosakan dikeluarkan oleh Penyewa Bilik.
7.6 Sekiranya Penyewa Bilik memperbaiki kerosakan yang berada di bawah tanggungjawab Tuan Rumah, maka Penyewa Bilik berhak menuntut kembali segala kos yang berkaitan dengan pembaikan kerosakan tersebut.
7.7 Tuan Rumah akan memulangkan wang Deposit (tanpa sebarang faedah) kepada Penyewa Bilik di penghujung tempoh Perjanjian ini iaitu seperti yang dinyatakan pada Bahagian 3, tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan. Wang Deposit juga akan digunakan sekiranya Penyewa Bilik gagal berbuat yang demikian:
a. Mematuhi peraturan dan tanggungjawab dalam Perjanjian ini sehingga tamat tempoh sewaan
b. Melangsaikan sebarang tunggakan pembayaran sewa Bilik Sewa
c. Membayar bil-bil tertunggak seperti yang dinyatakan dalam Perkara 6.6
d. Membaiki segala kerosakan yang disebabkan oleh perbuatan sengaja atau kecuaian Penyewa Bilik kecuali kerosakan disebabkan bencana alam seperti yang dinyatakan pada Perkara 6.40
e. Sentiasa membersih, mengemas dan memastikan keadaan Bilik Sewa dan Rumah Sewa dalam keadaan yang baik.
7.8 Memastikan sistem keselamatan Bilik Sewa dan Rumah Sewa telah disediakan sebelum Penyewa Bilik mendiami Rumah Sewa seperti pemasangan jeriji besi, tombol pintu dan tingkap serta berada dalam keadaan baik. Sistem pendawaian rumah, bekalan air, pembetungan dan telefon juga harus berfungsi dengan baik dan selamat. Sekiranya pihak Tuan Rumah gagal memenuhi Perkara 7.8 ini, pihak Penyewa Bilik berhak menambah peralatan ciri-ciri keselamatan yang dirasakan perlu dengan persetujuan Tuan Rumah kecuali sistem pemantauan kamera litar tertutup (CCTV). Kos pembiayaan penambahan alatan keselamatan tersebut juga perlu ditanggung oleh Tuan Rumah sekiranya ia gagal disediakan oleh Tuan Rumah dalam keadaan yang baik.
7.9 Penyewa Bilik berhak menamatkan tempoh sewaan dan mengosongkan kediaman Bilik Sewa dengan notis tidak kurang dari satu (1) bulan sekiranya Tuan Rumah gagal memenuhi syarat-syarat dan tanggungjawab yang termaktub dalam Perjanjian ini.
7.10 Memberi Notis Masuk Bilik Sewa dan Rumah Sewa tidak kurang dari tujuh (7) hari atau tempoh yang telah dipersetujui bersama Penyewa Bilik sebelum memasuki sebahagian atau keseluruhan Bilik Sewa.
7.11 Tuan Rumah tidak dibenarkan untuk menukar kunci pintu utama atau mana-mana bahagian rumah yang menyebabkan Penyewa Bilik tidak boleh masuk atau keluar ke/dari rumah tersebut tanpa kebenaran Penyewa Bilik. Sekiranya didapati Tuan Rumah melanggar Perkara 7.11 ini, Penyewa Bilik berhak menuntut ganti rugi yang berkaitan.
7.12 Tuan Rumah harus menanggung segala kos yang berkaitan dengan penyediaan Kontrak ini supaya ia sah digunakan di sisi undang-undang negara Malaysia dan boleh dibawa ke mahkamah untuk tujuan menyelesaikan isu berbangkit mengenai sewaan Bilik Sewa.
Dengan ini, pihak Tuan Rumah dan Penyewa Bilik bersetuju untuk bersama mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan seperti berikut:
8.1 Perjanjian ini adalah sah sepanjang tempoh sewaan sahaja seperti yang telah ditetapkan pada Bahagian 3 iaitu berkuatkuasa atau dianggap telah mula berkuatkuasa pada tarikh yang dinyatakan dalam Bahagian 3 (Tarikh Mula Sewaan) dan berakhir pada tarikh yang dinyatakan dalam Bahagian 3 (Tarikh Tamat Sewaan) tertakluk kepada terma-terma & syarat-syarat yang terkandung dalam Perjanjian ini. Perjanjian ini akan terbatal secara sendirinya apabila ia sewaan berada di luar tempoh sewaan tanpa perlu mempunyai sebarang kebenaran dari Tuan Rumah atau Penyewa Bilik.
8.2 Tuan Rumah bersetuju untuk memberikan dan Penyewa Bilik dengan ini bersetuju untuk menerima sewaan Bilik Sewa tersebut bagi tujuan yang dinyatakan dalam Bahagian 3 (Tujuan Sewaan) dan bukan untuk tujuan-tujuan lain.
8.3 Tuan Rumah hendaklah menyerahkan kunci Bilik Sewa dan Rumah Sewa kepada Penyewa Bilik selepas Penyewa Bilik membayar wang Deposit melainkan dipersetujui bersama oleh kedua-dua pihak untuk menangguh atau mempercepatkan tempoh penyerahan kunci tersebut.
8.4 Sekiranya Perjanjian tamat atau ditamatkan oleh Tuan Rumah atau Penyewa Bilik, adalah menjadi tanggungjawab Penyewa Bilik untuk menyerahkan kunci rumah kepada Tuan Rumah atau wakilnya dengan kadar segera.
8.5 Tuan Rumah bersetuju untuk tidak menaikkan kadar sewa rumah sepanjang tempoh sewaan yang telah ditetapkan pada Bahagian 3 Perjanjian ini. Sekiranya Tuan Rumah bertindak untuk menaikkan kadar sewa rumah, Perjanjian ini akan terbatal serta-merta dan Penyewa Bilik mempunyai hak untuk keluar daripada rumah tersebut dalam tempoh empat belas (14) hari dari notis pemberitahuan kadar sewa rumah yang baru.
8.6 Segala pembayaran perlu dibuat melalui transaksi atas talian kepada maklumat bank Tuan Rumah yang dinyatakan pada Bahagian 3 oleh pihak Penyewa Bilik sama ada melalui Online Transfer, FPX atau pemindahan wang melalui mesin ATM melainkan kaedah pembayaran yang berbeza telah ditetapkan oleh Tuan Rumah. Pembayaran yang terlibat dalam Perkara 8.6 ini adalah pembayaran sewa, tunggakan sewa, Deposit dan lain-lain pembayaran yang dituntut oleh Tuan Rumah.
8.7 Penyewa Bilik bertanggungjawab membayar segala tunggakan sewa pada tarikh yang dipersetujui dan dijanjikan dengan Tuan Rumah.
a. Sekiranya tiada bayaran diterima selepas satu (1) hari daripada tarikh yang telah dipersetujui, Tuan Rumah perlu mengeluarkan Notis Amaran atau Notis Tuntutan kepada Penyewa Bilik untuk melangsaikan tunggakan sewa tersebut.
b. Sekiranya tiada bayaran diterima selepas tujuh (7) hari daripada tarikh yang telah dipersetujui, Tuan Rumah berhak mengenakan caj tambahan yang dikenali sebagai Denda Lewat Bayar (seperti yang dinyatakan pada Bahagian 3) kepada Penyewa Bilik dengan jumlah yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.
c. Sekiranya tiada bayaran diterima selepas tiga puluh (30) hari daripada tarikh yang telah dipersetujui, Tuan Rumah atau wakil berhak untuk melakukan tindakan undang-undang terhadap Penyewa Bilik dan segala kos melibatkan prosedur mahkamah adalah ditanggung oleh Penyewa Bilik.
8.8 Sekiranya Penyewa Bilik ingin perbaharui tempoh Penyewa Bilik setelah tamatnya Perjanjian ini, maka Penyewa Bilik mestilah mengemukakan notis bertulis kepada Tuan Rumah tidak kurang satu (1) bulan sebelum tamat tempoh Penyewa Bilik tersebut.
8.9 Pihak Tuan rumah berhak memegang wang Deposit dengan nilai seperti yang dinyatakan pada Bahagian 3 sekiranya Penyewa Bilik bersetuju untuk memperbaharui Kontrak ini. Tuan Rumah dan Penyewa Bilik bersetuju untuk menggunakan wang Deposit ini dijadikan sebagai Deposit pada Kontrak Sewa Bilik yang seterusnya.
8.10 Pihak Tuan Rumah berhak untuk tidak memperbaharui tempoh Penyewa Bilik atas alasan yang munasabah dan relevan setelah tempoh sewaan tamat dengan memberikan satu (1) bulan notis kepada Penyewa Bilik.
8.11 Pihak Tuan Rumah berhak untuk menamatkan tempoh Perjanjian ini sekiranya berlaku pelanggaran pada mana-mana syarat dalam surat Perjanjian ini atau/dan sekiranya Tuan Rumah ingin semula rumah tersebut bagi apa-apa tujuan dengan mengemukakan tidak kurang dari dua (2) bulan notis bertulis kepada Penyewa Bilik.
8.12 Sekiranya Penyewa Bilik ingin menamatkan Kontrak Penyewa Bilik lebih awal daripada tarikh seperti ditulis pada Bahagian 3, bergantung pada budi bicara Tuan Rumah, Penyewa Bilik perlu melunaskan baki sewaan yang belum dibayar kepada Tuan Rumah sepanjang tempoh Penyewa Bilik yang telah ditetapkan di dalam Perjanjian ini. Tuan Rumah berhak untuk menuntut ganti rugi akibat penamatan Kontrak lebih awal daripada apa yang telah dipersetujui pada Bahagian 3 (Maklumat Sewaan) melalui tindakan undang-undang dan/atau menggunakan wang Deposit.
8.13 Sebaik sahaja tamat Kontrak ini, maka Penyewa Bilik dengan segala perbelanjaannya ditanggung sepenuhnya oleh Penyewa Bilik, wajib keluar dari Bilik Sewa ini serta-merta atau pada tarikh yang telah dipersetujui bersama Tuan Rumah. Sekiranya Penyewa Bilik tidak keluar pada tarikh yang telah dipersetujui, maka Tuan Rumah berhak untuk menghalau dan mengambil tindakan undang-undang ke atas Penyewa Bilik.
8.14 Tuan Rumah berhak untuk menjual atau memindah Rumah Sewa (termasuk Bilik Sewa) tersebut pada bila-bila masa sepanjang tempoh sewaan. Sekiranya terdapat ejen, pembeli atau mana-mana pihak yang ingin memasuki dan melihat Rumah Sewa dan Bilik Sewa tersebut, maka Penyewa Bilik harus membenarkan mereka pada bila-bila masa yang dikira munasabah.
8.15 Sekiranya Tuan Rumah atau mana-mana pihak berkuasa ingin melakukan kerja-kerja merobohkan atau mengambil alih ke atas keseluruhan atau mana-mana bahagian Rumah Sewa atas apa-apa tujuan, maka Penyewa Bilik berhak mendapat notis keluar rumah dalam tempoh 60 hari. Segala kos seperti pampasan atau ganti rugi akibat dari perlaksanaan Perkara 8.15 ini haruslah ditanggung sepenuhnya oleh pihak Penyewa Bilik dan Tuan Rumah masing-masing.
8.16 Sekiranya Tuan Rumah telah bersetuju dan memasuki sebarang perjanjian jual beli atau serah milik Rumah Sewa tersebut, maka Tuan Rumah berhak menamatkan Perjanjian ini dengan memberikan notis 60 hari kepada Penyewa Bilik. Dalam tempoh tersebut, Penyewa Bilik disarankan untuk mula mengosongkan Rumah Sewa dan Bilik Sewa untuk diserahkan kepada Tuan Rumah sebaik sahaja tempoh notis tersebut tamat.
8.17 Melainkan telah dipersetujui oleh mana-mana pihak, segala perkara yang telah dinyatakan di dalam Perjanjian ini yang melibatkan pelaksanaan peraturan dan tanggungjawab mana-mana pihak, akan dianggap digantung buat sementara secara automatik sekiranya berlaku sebarang insiden “Force Majeure” yang memberi kesan kepada pihak yang menjalankan Kontrak ini. Bagi tujuan Perjanjian ini, insiden “Force Majuere” termasuk tetapi tidak terhad kepada:
a. Malapetaka semula jadi seperti gempa bumi, banjir, kilat, ribut taufan; atau
b. Perang, permusuhan, penaklukan, tindakan musuh asing, pemberontakan, revolusi, ketenteraan atau rampasan kuasa, perang saudara, pengganasan, atau;
c. Kebakaran (tidak termasuk kebakaran disebabkan oleh perbuatan, pelanggaran atau kecuaian Penyewa Bilik, atau mana-mana pihak yang berkaitan dengannya), atau;
d. Rusuhan, huru-hara, kerosakan jenayah, sabotaj, mogok, perintah berkurung, rusuhan, atau lain-lain gangguan (yang mampu memberi kesan kepada Perjanjian ini) yang bukan berada di dalam kawalan Penyewa Bilik atau Tuan Rumah
8.18 Sebarang kos yang terlibat dalam menguruskan hal berkaitan Pergantungan Kontrak ini perlulah ditanggung oleh pihak masing-masing. Tuan Rumah dan Penyewa Bilik tidak boleh menuntut ke atas satu sama lain sebarang kerugian, akibat ketidakpatuhan, penangguhan, pelanggaran dan sebagainya akibat daripada Pergantungan Kontrak ini.
8.19 Sekiranya berlaku kemusnahan akibat bencana alam (bukan disebabkan oleh kecuaian/tindakan Penyewa Bilik) seperti kebakaran, banjir atau seumpama dengannya, yang menyebabkan Bilik Sewa tidak boleh/mampu untuk didiami, maka Kontrak ini harus digantung buat sementara waktu sehingga Bilik Sewa ini sesuai untuk didiami semula. Sekiranya Bilik Sewa tidak sesuai untuk didiami dalam tempoh dua (2) bulan dari tempoh kejadian ini berlaku, maka Tuan Rumah atau Penyewa Bilik berhak memberi notis sekurang-kurangnya satu (1) bulan untuk menamatkan Kontrak ini.
8.20 Sekiranya berlaku perubahan pada undang-undang sedia ada atau peraturan-peraturan baru yang diperkenalkan oleh pihak berkuasa yang boleh memberi impak kepada Perjanjian ini, Tuan Rumah berhak menjalankan tanggungjawabnya untuk mematuhi segala perubahan yang telah ditetapkan dan meminda syarat-syarat di dalam Perjanjian ini. Penyewa Bilik berhak untuk meneruskan atau menamatkan Kontrak dengan notis bertulis tidak kurang dari satu (1) bulan kepada Tuan Rumah.
8.21 Segala Notis yang dikeluarkan di bawah Perjanjian ini harus dalam bentuk bertulis. Medium penghantaran Notis perlu dilakukan melalui emel, surat, sistem pesanan ringkas (SMS), segala aplikasi mempunyai fungsi SMS seperti dan tidak terhad kepada WhatsApp, Messenger atau Telegram, atau mana-mana medium yang mempunyai fungsi penghantaran mesej melalui tulisan.
8.22 Sekiranya ada, Tuan Rumah perlu menyediakan tempat letak kereta untuk kegunaan Penyewa Bilik sepanjang tempoh sewaan pada tapak yang telah disediakan seperti dinyatakan pada Bahagian 3. Penyewa Bilik bersetuju untuk menjaga tapak tempat letak kereta dengan baik tanpa merosakkan atau menempatkan sesuatu yang lain selain daripada kenderaan persendirian melainkan mendapat persetujuan daripada Tuan Rumah.
8.23 Penyewa Bilik tidak boleh meletakkan kenderaan mereka pada tapak tempat kereta selain yang telah ditetapkan di dalam Perjanjian ini. Sebarang denda/caj yang dikenakan sekiranya Penyewa Bilik bertindak sedemikian harus ditanggung oleh Penyewa Bilik.
Dalam mod Isi Semua Sekali, setiap pihak hanya perlu tandatangan sekali. Sistem akan menyalin tandatangan secara automatik ke ruangan berkaitan dalam dokumen dan PDF akhir.
Tandatangan di sini akan disimpan bersama maklumat Penyewa. Apabila Tuan Rumah membuka semula perjanjian, sistem akan meletakkan tandatangan secara automatik pada ruangan yang berkaitan. Kotak ini tidak akan menjadi halaman tambahan dalam PDF.
Selepas semua butiran Tuan Rumah dan Penyewa lengkap, simpan perjanjian ini untuk mendapatkan No. Rujukan dan terus ke Semakan Akhir.
Tuan Rumah boleh pilih untuk hantar melalui WhatsApp atau e-mel, muat turun PDF, atau cetak. Untuk WhatsApp dan e-mel, maklumat penerima dimasukkan sendiri dan tidak akan dimasukkan ke dalam PDF.